Tuesday, February 23, 2010

Hukuman penjara bekas pengarah urusan AIM diketepikan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini melepaskan dan membebaskan bekas pengarah Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Mukhtar Ramli daripada hukuman penjara lima tahun berhubung tuduhan pecah amanah membabitkan RM3.8 juta selepas membenarkan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen pada 2007.

Hakim Datuk Ghazali Cha, dalam penghakimannya berkata, selepas meneliti rekod rayuan, mahkamah mendapati hakim Mahkamah Sesyen tersalah arah dalam keputusannya dan memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kelima-lima pertuduhan yang dihadapi Muktar.

Beliau berkata, elemen penting dalam kes pendakwaan ialah untuk membuktikan wujudnya elemen curang seperti mana dikehendaki dalam kertas pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan

"Walaupun AIM telah mengalami kerugian dalam kes ini tetapi pihak pendakwaan perlu membuktikan satu kes prima facie melampaui keraguan munasabah di mana perayu (Mukhtar) tidak mempunyai kuasa mutlak dalam semua urusan kewangan dan pembelian-pembelian saham," kata hakim Ghazali.

Katanya, kegagalan pihak pendakwaan untuk memanggil Pengarah Kewangan AIM turut melemahkan kes pendakwaan.

Mukhtar, 57, yang juga bekas Pengarah Arkib Negara selama 20 tahun, didakwa melakukan pecah amanah wang AIM sebanyak RM375,000 dengan membeli saham Malaysia Airports Bhd pada 5 dan 11 November 1999 manakala kesalahan kedua membabitkan pembelian saham Asnita sebanyak RM500,000 pada 1 dan 7 Ogos 2000.


(Kelihatan dalam Gambar Tuan Haji Mokhtar bersama barisan
peguamnya di mahkamah )

Bagi kesalahan ketiga, Mukhtar melakukan pecah amanah itu dengan membeli saham Tabung Ittikal berjumlah RM1.5 juta dan kesalahan keempat membeli saham Dali Al Ihsan berjumlah RM999,000 pada 13 dan 22 Mac 2001.

Tuduhan kelima pula membabitkan pembelian saham Dali Al Mizan berjumlah RM500,000 pada 20 dan 29 Mac 2001.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di pejabat AIM di Lot JKR 3179 & 3185, Jalan Ledang Off Jalan Duta di sini.

Ghazali dalam penghakimannya juga berkata, kes terhadap Mukhtar seharusnya tidak dibawa ke mahkamah sebaliknya pihak AIM boleh menyelesaikannya secara dalaman seperti merujuk kepada tribunal.

Sebaik saja penghakiman, Mukhtar yang berpakaian kemeja lengan panjang dan bersongkok memeluk kedua-dua anak perempuannya serta rakan dan saudara yang hadir di mahkamah.

Di luar mahkamah, Mukhtar berkata, beliau tidak pernah risau menghadapi tuduhan terhadapnya kerana dari awal memang tahu beliau tidak bersalah.

"Saya akan meneruskan kerja-kerja dakwah bersama Abim serta Wadah (Wadah Pencerdasan Umat Malaysia), selain menguruskan perniagaan sendiri," katanya.

Mukhtar diwakili oleh peguam Mohd Yaacob Bakar Ali dan Azmir Saad, manakala pendakwaan dijalankan oleh Ahmad Kamal Ariffin Ismail daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. - Bernama

Sumber : http://www.bharian.com.my/