Monday, January 31, 2011

Lulus universiti, tapi belum cukup berakal.

Kebijaksanaan bukan terletak kepada kejayaan mencapai gelaran mahasiswa mana-mana universiti atau menamatkan pengajian dan disebut orang sebagai graduan. Bukan juga diukur kepada berapa banyak gulung ijazah yang dimiliki. Ia juga bukan diukur dengan kejayaan dalam pelajaran lanjutan pasca ijazah dan diletakkan gelaran dr. atau prof di pangkal nama. Tidak dinafikan bahawa ramai orang yang mencapai tahap pelajaran di peringkat iniversiti dan yang telah bergelar dr dan professor adalah orang bijak pandai. Namun, tidak harus dilupakan bahawa ramai juga yang berjaya sehingga ke universiti, malah ada gelaran dr. dan professor di pangkal nama, tetapi tidak menampakkan kebijakkan dan mensyarakat meragui kredibiliti ilmunya.

Sebab itu, seorang yang berakal bukanlah hanya seorang yang berjaya dalam pelajarannya. Hari ini, ramai wanita lebih berjaya dalam pelajaran berbanding lelaki. Di pusat-pusat pengajian tinggi, lebih ramai perempuan berbanding lelaki. Ironinya, ramai lelaki memenuhi pusat pemulihan dadah dan menghuni ruang-ruang bergerigi penjara seluruh negara. Namun, itu bukanlah satu justifikasi bahawa perempuan lebih berakal daripada lelaki. Memang ada sesetengah perempuan mempunyai tahap pemikiran yang mengatasi sekelompok lelaki. Malah, dia menjadi mahaguru pula kepada lelaki, sebagaimana halnya dengan Aishah r.a , ummahatul mukminin. Namun, itu adalah hal yang jarang-jarang. Kejarangan sesuatu perkara tidak boleh dijadikan justifikasi dalam agama. Lagi pula, sebagaimana yang telah dinyatakan, akal bukan diukur berdasarkan kebijakkan dalam menguasai pelajaran.


Nabi meyebutkan dalam sebuah hadis yang saheh sebagaimana diriwayatkan dalam Saheh Muslim, bahawa perempuan adalah kurang dari segi akalnya dan agamanya. Kurangnya akal perempuan itu menyebabkan kesaksian dua orang perempuan menyamai kesaksian seorang lelaki. Sementara kurangnya agama seorang perempuan, dapat dilihat daripada kerehatannya daripada perentah solat dan puasa Ramadhan disebabkan haid.

(Matan Hadis: Sabda nabi SAW):

يا معشر النساء ! تصدقن وأكثرن الاستغفار. فإني رأيتكن أكثر أهل النار فقالت امرأة منهن ، جزلة : وما لنا يا رسول الله أكثر أهل النار قال : تكثرن اللعن وتكفرن العشير وما رأيت من ناقصات عقل ودين أغلب لذي لب منكن. قالت: يا رسول الله ! وما نقصان العقل والدين ؟ قال: أما نقصان العقل فشهادة امرأتين تعدل شهادة رجل. فهذا نقصان العقل وتمكث الليالي ما تصلي وتفطر في رمضان فهذا نقصان الدين

Berakal itu bukan ertinya bijak. Berakal itu adalah kemampuan mengendalikan perasaan. Para ulama ada menyebutkan andaian bombastik bahawa jika seorang perempuan itu diberikan hak talak, maka dia akan menceraikan suaminya seratus kali dalam masa sehari. Demikian itu kerana dari segi fitrahnya, perempuan sering tewas dengan runtunan perasaan sendiri. Apabila perasaan berkuasa, fungsi akal akan menurun. Dalam banyak keadaan, kita tentu punya pengalaman, sama ada dialami sendiri atau menyaksikan kejadian sekeliling, perempuan diperdaya dengan ayat-ayat cinta dari lelaki. Ketika suami isteri bergaduh, keluar perkataan "ceraikan aku!", dari mulut sang isteri. Ramai suami boleh bertahan daripada mengungkapkan kata-kata talak di kala kemarahan memuncak biarpun dia gagal menahan kaki dan tangannya daripada melayang ke tubuh sang isteri.

Aku bukan bermaksud untuk menghuraikan perbezaan akal antara lelaki dan perempuan. Tetapi, aku ingin menegaskan bahawa berakal itu bukan diukur dengan pencapaian unggul dalam pelajaran. Seorang yang telah mencapai tahap pendidikan kartaksis, jangan menyangka bahawa dia telah mendapat kunci kebijakkan akal seluruhnya. Segulung ijazah yang tergenggam, bukan petanda kita telah mempunyai akal yang bertahta di langit. Ia perlu dibuktikan pada baki hidup yang ada selepas tamat zaman pengajian.

Segulung ijazah, gelaran dr. atau professor hanyalah alat untuk membuatkan orang meyakini kita dan memberi perhatian terhadap apa yang kita katakan. Satu isu yang sama dan ulasan yang sama, tetapi dinyatakan oleh dua orang yang berbeza. Seorang adalah pemuda buruh kasar yang tidak berkelulusan. Manakala seorang lagi adalah seorang pemuda lulusan universiti atau berpangkalkan gelaran dr. dan professor pada namanya. Tentunya, dari segi hukum kemasyarakatan yang dianuti secara tidak sengaja, pendapat yang diluahkan oleh seorang berkelulusan universiti dengan gelaran dr. dan professor itulah yang akan dipegang dan dimasyhurkan. Sedangkan, sekadar pandangan, ia tidak pula berbeza dengan pandangan pemuda buruh kasar tanpa kelulusan tersebut.

Sebab itu, segulung ijazah hanya alat untuk memenuhi tuntutan dan hukum kemasyarakatan. Ia bukan jawapan muktamad. Seorang yang pulang daripada luar negara, (katakan daripada Timur Tengah) bertahun belajar agama di universiti di negara Arab, tanggapan pertama masyarakat setempatnya(istimewa kalau di kampung), dia pulang dengan ilmu yang sarat dan dapat diharap sebagai permata di kampung dan menjadi rujukan dalam hal-hal agama. Pada hari pertama dia tiba di kampung setlah bertahun berkelana di negara tersebut, satu kampung menyambutnya. Kenduri besar buat meraikan akan diadakan. Lalu, dengan penuh hormat dan ta'zim, warga tua desa akan mempersembahkan hajatnya untuk mendengar curahan ilmunya melalui sesi atau siri ceramah dan kuliah agama yang bakal diadakan di masjid. Bayangkan, tiba-tiba, graduan Timur Tengah tersebut boleh mengatakan :

"Aku tidak boleh memberikan kuliah...",

Apakah sikap orang kampung sesudah itu? Apakah kemuliaan dan kehormatan yang diberikan akan berterusan selamanya. Atau ia akan pudar bersama sirnanya harapan orang-orang kampung? Bukankah dia telah pulang dengan segulung ijazah? Tidak cukupkah ijazah itu sebagai bukti bahawa dia telah menjadi orang berilmu? Seharusnya orang berilmu dihormati selamanya.

Sudah tentu, segulung ijazah itu kelak akan menjadi tidak bermakna. Segulung ijazah bukan ada nilai di mata orang lain jika kita tidak boleh menyumbangkan apa-apa buat mereka, sekalipun hanya sekadar sekelumit kata mengandungi mutiara atau sekilas bayang contoh teladan buat mereka. Bayangkan, apa akan jadi kepada graduan agama luar negara tersebut jika disamping keengganannya menyampaikan kuliah ilmu, dia tidak pula menjejaki kaki ke masjid untuk solat berjemaah. Tidak watak seorang ustaz sebagaimana yang diharapkan oleh warga kampungnya.

Oleh itu, buat para mahasiswa yang sedang meladeni dunia kartaksis, dan buat para graduan yang sudah mula mengagak-agak lapangan kerjaya dan khidmat sosialnya, janganlah merasa hebat dengan kepulangan membawa segulung ijazah. Janganlah menjadi seperrti sehelai daun yang jatuh dipuput angin kemudian hancur tidak berbekas. Jadilah seperti biji getah yang terpelanting dari induknya lalu menumbuhkan pula pokok getah yang menjadi induk baru. Atau setidaknya jadilah seumpama sena melayang yang membawa bersamanya benih sena baru untuk ditumbuhkan di tempat yang jauh. Jangan jadi melukut di tepian gantang. Setidak-tidaknya jadilah seperti air hujan yang menambahkan kuantiti air sedia ada.

Banyak kemahiran luar bidang pengajian yang perlu diadun agar menjadi kemahiran diri sepanjang hayat di dunia. Kalau semasa di universiti belajar agama, keluar universiti belajarlah daripada dunia luar sana ilmu dan kemahiran sama ada formal atau tidak. Belajar secara tidak formal amat mudah. Ia bermula dengan proses cuba dan gagal sebelum berhasil membina kemahiran. Alangkah baiknya jika seorang ustaz atau ustazah mempunyai pelbagai kemahiran luar bidangnya. Dia bukan sahaja pandai mengaji dan mengaarkan orang lain mengaji. Bukan sekadar pandai berceramah dan menyampaikan kuliah. Bukan sekadar tahu menjadi guru agama. Itu adalah teras yang perlu dikuasainya. Kemahiran lain adalah tambah nilai. Demikian, kalau masa di universiti bidangnya adalah bukan agama, alangkah beruntung kalau setelah keluarnya dari universiti sebagai graduan, kemampuan dan penampilannya dalam agama menyamai, malah mengatasi sebilangan lulusan agama.


Tidak perlu pakar, cukup sekadar asas-asas, memadailah. Jika pakar, tentunya lebih baik. Ilmu tentang komputer, internet, memandu kereta dan menyelenggarakanya, pertukangan (umpamanya buat rak kasut dan almari buku), pembinaan (seperti ikat bata tambah rumah atau buat tandas), berladang dan berkebuh (seperti menoreh dan menguruskan kelapa sawit atau sawah padi), pendawaian elektrik, piping dan bermacam-macam lagi. Dalam tugas-tugas dunia penyampaian ilmu amat molek jika disertai dengan kebolehan-kebolehan luar bidang seperti bernyanyi, berlakun, bersajak, bersyair, berpantun dan mengarang karya-karya. Bagus sekali kalau sampai dapat menerbitkan buku dan karya tulisan.

Menguasai semua itu ke tahap pakar mamang di luar kemampuan kita. Namun, mengetahui asas-asas dan dapat mempraktiskan pada tahap minima adalah memadai. Orang yang dapat melaksanakan ilmunya kepada masyarakat dan dapat melangsungkan survival di saat-saat payah dan sukar hasil kemahiran yang dipelajarinya, itulah tandanya dia memanfaatkan fungsi akalnya. Kekadang, seorang pemuda kampungan yang miskin dan tidak mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi lebih berakal dari pemuda kota yang kaya mewah dan belajar sehingga ke Amerika Syarikat. Tahap ta'akulnya akan terserlah bila diuji kedua-dua mereka bagaimana menguruskan survival di saat-saat sukar.

Semoga kita dapat menggunakan fungsi akal kita untuk terus memantapkan kebolehan dan kemahiran dalam hidup. Biarlah kebolehan dan kemahiran itu membawa guna kepada diri dan masyarakat. Sejak dewasa, bukan lagi zaman kita memahirkan diri dengan permainan yang hanya menghiburkan diri. Bukan masanya lagi main lastik, bedil bambu, atau main aci-aci. Kebolehan dan kemahiran seumpama itu tidak memberi manfaat besar buat diri dan masayarakat. Masa yang dianugerahkan Tuhan kepada kita lebih sedikit daripada yang diperlukan untuk melakukan yang terbaik buat kehidupan dunia. Apa lagi kalau untuk agama yang dianegrahkan kita perjuangkannya.

Sumber asal: http://muridkyai.blogspot.com/

3 comments: