Monday, May 2, 2011

MTUC minta laksana 6 tuntutan

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) semalam mengulangi permintaan supaya kerajaan segera melaksanakan enam tuntutan yang diperjuangkannya mereka selama ini.

Enam tuntutan itu ialah penetapan gaji minimum RM900 sebulan, mengurangkan waktu bekerja kepada 40 jam daripada 48 jam seminggu, usia persaraan kepada 60 tahun.
MTUC juga mahu supaya kerajaan memberikan faedah persaraan yang dikira berdasarkan kepada sebulan gaji bagi setiap tahun perkhidmatan pekerja, menghapuskan sistem kerja kontrak dan mewujudkan persekitaran kerja yang selamat termasuk menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja.
Naib Presiden MTUC, A Balasubramaniam, berkata sempena sambutan Hari Pekerja ini, MTUC berharap kerajaan dapat mengambil tindakan segera untuk melaksanakan permintaannya, khususnya pelaksanaan gaji minimum.

“Berdasarkan statistik kerajaan, masih ada 34 peratus daripada pekerja menerima gaji rendah iaitu di bawah garis kemiskinan,” katanya kepada pemberita pada perhimpunan Hari Pekerja anjuran MTUC bahagian Selangor dan Wilayah Persekutuan di sini, semalam.

Turut hadir bekas Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud dan Pengerusi MTUC Selangor dan Wilayah Persekutuan, N Gopal Kishnam.

Balasubramaniam berkata, MTUC juga meminta kerajaan mengurangkan pengambilan pekerja asing sebaliknya memberi peluang kepada pekerja tempatan untuk menceburi sektor swasta terutama dalam sektor perkilangan.
“Kita (MTUC) ada terima aduan daripada kesatuan yang menyifatkan majikan mengamalkan diskriminasi terhadap pekerja tempatan dan mengutamakan pekerja asing,” katanya.

Beliau juga berkata hanya sembilan peratus daripada pekerja di negara ini yang menyertai kesatuan pekerja.

“Setakat ini jumlah ahli adalah seramai 620,000 orang yang diwakili 272 kesatuan, namun yang aktif hanya 530,000 orang,” katanya yang turut meminta majikan menganggap kesatuan sebagai rakan syarikat dan bukannya sebagai beban. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment