Akta Kerja: MTUC piket di seluruh negara 3 November
Posted on Oktober 11, 2011 by wanazizah
The Malaysian Insider
SUBANG JAYA, 11 Okt — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebulat suara memutuskan untuk mengadakan piket di seluruh negara pada 3 November ini bagi membantah tindakan Putrajaya meneruskan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011 di Dewan Rakyat, Khamis lalu.
Ia akan diadakan serentak di seluruh negara.
Pendirian tegas ini, susulan piket di kawasan Parlimen pada 3 Oktober lalu, diputuskan oleh mesyuarat majlis am khas petang semalam. Lebih 100 kesatuan gabungan menghadiri mesyuarat semalam.
Kali terakhir MTUC mengadakan piket nasional adalah pada 2007 berkaitan dengan dasar minimum.
“Kami memutuskan untuk mengadakan piket bagi melahirkan pendirian tidak puas hati kami dengan tindakan kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia meneruskan bacaan kali kedua rang undang-undang ini meskipun kami telah menghantar surat kepada Menteri Sumber Manusia (Datuk Dr S Subramaniam) agar ia ditangguhkan,” katanya.
Surat itu dipanjangkan kepada Subramaniam ketika mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) kira-kira sejam sebelum piket 3 Oktober lalu.
Perkembangan semasa dijangka membawa kesan dari segi sokongan pekerja kepada parti pemerintah pada pilihan raya umum ke-13.
Sejurus selepas mesyuarat majlis am berakhir beberapa pemimpin kesatuan gabungan meluahkan perasaan kecewa mereka dengan berkata jika kerajaan tidak mahu mendengar suara piket, para pekerja akan mengambil pendirian semasa pilihan raya — dilihat merujuk kepada pilihan raya umum ke-13 yang disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat ini.
“Kami ingin menyampaikan mesej bahawa MTUC tidak gembira dengan keputusan Kementerian Sumber Manusia,” kata Presiden MTUC Khalid Atan kepada The Malaysian Insider ketika ditemui selepas mesyuarat am khas yang berlangsung lebih dua jam di sini petang semalam.
Selain piket, kata beliau, MTUC akan menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar mendengar alasan-alasan mengapa MTUC membantah Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011.
“Surat ini akan dihantar dalam waktu terdekat,” kata Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor yang mengiringi Khalid ketika ditemui The Malaysian Insider semalam.
Selain itu katanya, MTUC akan cuba mendapatkan sokongan ahli-ahli Dewan Negara, yang bakal membahaskan Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011 dalam waktu terdekat ini, agar mendengar rintihan kongres.
“Jadi, kami akan meminta ahli-ahli Dewan Negara mendengar alasan kami, sebenarnya kami tidak membantah kesemua peruntukan Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011 tetapi beberapa peruntukan sahaja… jadi, kami berharap akan mendapat sokongan Dewan Negara dan berharap mereka akan menghantar balik kepada Dewan Rakyat,” katanya.
Halim berkata ada juga cadangan agar MTUC menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong jika Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011.
“Mereka mahu mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong juga,” kata beliau.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, piket awal bulan depan akan diadakan di setiap ibu negeri di seluruh negara antara pukul 5 hingga 6.30 petang secara serentak.
“Mekanisme dan strategi berpiket akan diuruskan kemudian… kami berharap usaha ini akan disertai oleh kesemua pekerja dan juga orang ramai… kerana ia membabitkan setiap pekerja negara ini,” kata Khalid dengan merujuk kepada MTUC yang mempunyai bahagian di setiap negeri.
Mesyuarat Jawatankuasa kerja MTUC Jumaat lalu yang kecewa dengan pendirian kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia yang enggan bertolak ansur, sebaliknya meneruskan bacaan kali kedua pindaan Akta Kerja, membawa usul mengadakan piket di seluruh negara ke pertemuan petang semalam.
Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011 malam Khamis lalu setelah membahaskannya selama lima jam.
Perkembangan itu mencetuskan rasa tidak senang di kalangan sebahagian pemimpin MTUC.
MTUC telah meminta Kementerian Sumber Manusia agar Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011 ditarik balik dan ditangguhkan, serta diadakan perbincangan susulan di peringkat NLAC.
Bagaimanapun kementerian bertegas mahu meneruskan bacaan kali kedua di Parlimen sehingga mengejutkan sebahagian besar kepimpinan MTUC.
Antara peruntukan yang dibantah MTUC ialah sistem kontraktor bagi tenaga kerja atas ia akan menjejaskan kebajikan pekerja dan kedudukan kesatuan sekerja dalam jangka panjang.
MTUC mendakwa sistem itu membawa negara kepada persekitaran perburuhan sebelum negara merdeka.
Di samping itu MTUC mahu cuti bersalin pekerja dinaikkan daripada 60 kepada 90 hari dan peruntukan perlindungan gangguan seksual tetapi ia tidak dimasukkan ke dalam pindaan semasa.
Kementerian Sumber Manusia mendakwa pindaan akta itu akan membolehkan pemantauan dan pengawalan agensi pembekal tenaga buruh yang lebih sistematik, terutama di kawasan terpencil.
Selain itu, kementerian juga akan mempunyai rekod komprehensif pekerja bagi memudahkan urusan pemantauan.
Rang undang-undang itu dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada sesi Parlimen 8 Julai 2010, namun ditarik balik pada sesi Parlimen 12 Oktober 2010.
Subramaniam berkata, “kita dah bincang perkara ini sudah 18 kali, bukan sekali dua dan pandangan mereka diterima, sekarang di saat-saat akhir mereka membuat demikian (piket), tapi niat kita ialah untuk memberi perlindungan kepada pekerja bukan untuk buka ruang ‘outsourcing’ seperti yang dituduh mereka.”
No comments:
Post a Comment