Perutusan Hari Pekerja
Salam Sejahtera . Selamat menyambut Hari Pekerja. Tanggal 1 May ,
mungkin telah sinonim dengan kita, golongan pekerja samada sektor
swasta atau awam. Namun dicelah pengertian itu masih terdapat
golongan marhain ini yang tiada apa-apa makna pada hari tersebut
walau dilintasi pada saban tahun. Lebih dimengertikan hanya cuti
umum. Jauh untuk kita perhatikan dan mengertikan adalah tentang
hari untuk kita mengimbau tentang perjuangan golongan-golongan
pekerja pada masa lalu untuk kita menikmati keharmonian
pekerjaan pada masa ini.
Revolusi Industri pada abad ke 19 dan 20 telah melahirkan golongan
pekerja yang memahami hak tentang pekerjaan mereka. Apa yang
dinikmati hari ini adalah dari apa yang telah diperjuangkan
mereka pada masa-masa lalu. Kita mungkin tidak sedar bahawa
kita bekerja selama 8 jam sehari pada hari ini adalah sememangnya
apa yang telah diperjuangkan dari dahulu. Sebelum masa kerja yang
dinikmati hari ini, tempoh masa bekerja pada masa lalu ada yang
selama 24 jam tanpa henti, kemudiannya 20 jam sehari dan ada yang
16 jam sehari kemudiannya 12 jam sehari.
Perjuangan-perjuangan golongan pekerja sejak awal kurun ke 20
telah banyak merubah tempoh masa pekerja di mana kita berupaya
bekerja dalam tempoh masa 8 jam sehari disamping kita dapat
mewujudkan keharmonian perusahaan.Golongan-golongan kapitalis
terus mengekploitasi golongan pekerja dengan tempoh masa kerja
yang panjang tetapi dengan upah yang kecil. Gerakan-gerakan
pekerja telah memperjuangkan masa depan golongan pekerja sejak
dahulu sehingga ada yang terkorban dan ada yang dipenjarakan.
Perjuangan untuk memastikan suasana kerja yang harmoni terus
diperjuangkan kerana keadaan sesuatu pekerjaan dan keperluan
semasa turut berubah dari masa dan semasa.
Justeru itu tidak timbul persoalan bahawa kita mengatakan bahawa
kita yang bekerja 10 tahun dahulu tidak semewah mereka yang baru
memulakan pekerjaan pada hari ini. Ini kerana keperluan pada 10
tahun yang lalu tidak sama dengan keperluan pada masa ini. Juga
jika dibandingkan dengan bebanan kerja antara dahulu dan sekarang.
Golongan pekerja yang berpendapatan kecil terus tersepit bilamana
kadar inflasi bagi barangan asas pada kadar 4% setahun sedangkan
kenaikan gaji tahunan hanya pada 2.5% hingga 3% . Keadaan ini
menyebabkan golongan berpendapatan kecil terus dibelenggu
dengan hutang.
Adakalanya sesuatu pekerjaan itu memerlukan golongan pekerja
memperuntukan perbelanjaan dari pendapatan yang kecil untuk
digunakan dalam urusan pekerjaan seperti pengangkutan ke
tempat kerja atau semasa bekerja. Golongan pekerja ini
terpaksa membelanjakan wang dari gaji bagi membiayai
kenderaan untuk bekerja. Berbanding dengan pihak yang lebih
berpangkat mereka disediakan kenderaan malah tidak timbul
masalah untuk menyediakan perbelanjaan bagi kenderaan
untuk bekerja.
Namun golongan pekerja marhain ini terus diejek dengan mengatakan
mereka golongan berpendidikan rendah ini tidak tahu mengurus
perbelanjaan. Di manakah logiknya?. Mereka yang mengejek ini
mungkin berpendapatan lebih dari RM 5000 sebulan berbanding
dengan yang berpendapatan RM1500 sebulan. Kononnya golongan ini
tidak tahu menabung. Di mana hendak ditabung jika untuk makan
pun tidak mencukupi.
Isu-isu kesihatan masih tidak diberatkan. Yang menghadapi penyakit
terus dipinggir dan dikatakan tidak produktif. Maka teruslah
dinafikan hak-haknya. Dalam sesuatu pekerjaan , penyakit yang
dihadapi mungkin kesan dari sesuatu pekerjaan.
Ada yang menjadi kurang upaya bilamana mendapat kemalangan
semasa bertugas. Malah penyakit-penyakit akibat dari pencemaran
udara dan sebagainya dipandang remeh oleh pihak majikan.
Mungkin pihak ini tidak nampak kesan tersebut atau buat-buat
tidak nampak sememangnyalah kerana mereka bekerja ditempat
berhawa dingin.
Pihak Kerajaan terus mengambil beberapa inisiatif bagi menjaga
kebajikan golongan yang kurang upaya dan yang menghadapi
masalah kesihatan. Mereka terus dibela. Ada juga beberapa
majikan swasta lain yang telah mengambil langkah yang sama.
Malah pekerja pekerja kilang yang kita mungkin perlekehkan
pekerjaan mereka, telah diberikan layanan yang baik oleh
majikan mereka. Pihak Majikan melayan pekerja yang dalam
kesusahan ini dengan cara yang paling baik. Mereka dibiayai
perbelanjaan rawatan dan diberikan kelonggaran dalam bertugas.
Mereka tidak dianaktirikan malah diberikan layanan dan
imbuhan yang sama.
Namun akhir-akhir ini kita dapati , ada pihak yang menidakkan
tanggungjawab sosial ini. Golongan ini dianggap tidak produktif.
Mereka hanya diberikan gaji dan elaun asas saja.
Malah tiada kenaikan tahunan. Dapatkah saudara saudari
bayangkan jika saudara saudari berpendapatan RM 1500 sebulan
dan berhasrat untuk terus bekhidmat untuk tempoh 10 tahun lagi.
Saudara saudari hanya akan menerima gaji RM 1500 sebulan
sehingga tempoh tersebut tanpa ada sebarang imbuhan lain.
RM 1500 sebulan sehingga 10 tahun akan datang.
Perbanyakkan doa dan berhati-hatilah agar kita tidak
ditimpa musibah atau kemalangan yang menyebabkan kita
menjadi kurang upaya dan mendapat penyakit yang menjejaskan
produktiviti. Samada perlukah kita doakan agar ianya ditimpa
ke pihak yang lain agar mereka sedar itu semua dari
ALLAH S.W.T. Dan agar timbul kesedaran bahawa Allah
yang menentukan segalanya.
Saudara saudari mungkin antara yang kuat ibadatnya dan memang
diakui. Ini kerana solat sunatnya yang banyak, bersedekah
tidak tentu masa. Makkah dan Madinah tempat ziarahnya Tazkirah
saban hari dan Qiamulailnya sepanjang Ramadhannya.
Namun mungkin kerana terlalu taksub dengan amalan yang besar
dan gah itu maka terlalai seketika.Bahawa dalam beribadat ALLAH
memberikan pahala sama saja kepada hambanya samada yang sakit
atau sihat. Dalam sembahyang pun, bagi yang berupaya berdiri,
sempurnakanlah dan bagi yang kurang upaya dengan hanya
kerdipan mata pun diterima oleh ALLAH.
Tiada dikiranya itu tidak produktif. Malah mungkin yang tidak
berupaya itu tetapi tekad dan usaha untuk melaksanakan itu
lebih dinilainya. Malah di zaman Rasullullah pun, semasa
berperang, ramai para sahabat yang tercedera semasa berperang.
Ada yang kudung kakinya ada yang putus tangannya. Malah pada
peperangan selepasnya para sahabat ini masih turut serta di
medan perang. Rasullullah tidak melarang mereka berperang
atau menganggap mereka tidak produktif. Malah sumbangan mereka
terus digunakan. Walaupun bukan di medan hadapan para sahabat
ini ditempatkan di bahagian sokongan seperti urusan makanan
dan perubatan. Mereka-mereka ini terus dibawa ke medan perang
kerana doa-doa mereka tetap diterima oleh ALLAH.
Adakah kita terlalu hebat dari Rasullullah?.
Untuk memajukan organisasi dan meningkatkan produktiviti tidak
hanya dengan usaha saja tetapi perlu disusuli dengan doa. Dan
berhati-hatilah dengan doa golongan teraniaya ini kerana tiada
hijabnya di sisi ALLAH. Semoga kita marayakan sambutan Hari
Pekerja ini dengan tekad untuk terus berusaha memajukan
organisasi dan diri dengan penuh keredhaan ALLAH.
Tekad bekerja dengan jujur tanpa mengharap anugerah. Supaya
kita tidak kecewa kerana mengharap . Supaya tidak mengikis
tekad kita bekerja untuk mendapat keredhaan ALLAH.
Kebajikan Cemerlang, Gagasan Malaysia Terbilang
Sekian.
Setiausaha Agung KEPAIM/
Pengerusi Biro Skim Perkhidmatan Dan Perhubungan Perusahaan KEPAIM
Ahli Majlis Belia MTUC
No comments:
Post a Comment