AMANAH Ikhtiar Malaysia (AIM) yakin untuk menyalurkan RM1.3 bilion pembiayaan kepada Sahabat AIM (peminjam) terutama mereka yang berpotensi menjalankan perniagaan berskala kecil dan mikro menjelang akhir tahun ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Zabidah Ismail berkata, sehingga 30 Jun 2011 terdapat 267,794 Sahabat yang mendapat manfaat dan lebih 50 peratus daripada RM1.3 bilion terbabit sudah disalurkan kepada peminjam.
Katanya, jumlah pembiayaan yang diperuntukkan pada tahun ini meningkat sebanyak RM400 juta berbanding tahun lalu dan AIM komited membantu lebih ramai penduduk luar bandar melepasi garis kemiskinan menerusi skim pinjaman yang ditawarkan secara menyeluruh.
“Sejak ditubuhkan, AIM menyalurkan RM5.48 bilion jumlah pembiayaan dan kami mencatatkan pembayaran balik sebanyak 99.5 peratus, sekali gus merekodkan prestasi terbaik menerusi pemantauan AIM serta komitmen Sahabat.
“Selain itu, bagi memberi pelaksanaan yang lebih efisien kami meluaskan wilayah pentadbiran dengan membuka lebih banyak cawangan pada tahun ini, sekali gus menjadikan Sabah dan Sarawak fokus utama AIM melebarkan sayap serta membuka peluang kepada masyarakat di sana untuk memperoleh kemudahan yang disediakan AIM,” katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, antara sektor yang banyak mendapatkan pembiayaan AIM adalah peruncitan, perikanan, pertanian dan perkhidmatan dengan pinjaman bermula dari RM3,000 hingga RM50,000.
Zabidah berkata, majoriti Sahabat AIM adalah golongan wanita iaitu lebih 90 peratus dan pihaknya memfokus kepada ibu tunggal serta suri rumah yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. Selain itu, pihaknya bukan saja memberi latihan dan bimbingan kepada Sahabat, malah mengadakan kelas penggunaan komputer termasuk kursus perakaunan berkomputer.
Beliau berkata, AIM juga komited melahirkan 1,000 usahawan wanita setahun selaras peranan kerajaan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sejak 2009.
Sementara itu, Zabidah berkata, pihaknya terus melebarkan sayap apabila menambah 19 cawangan AIM di seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Negeri Sembilan menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 106 berbanding 87 cawangan sebelum ini.
Zabidah berkata, menjelang 2015 pihaknya menyasarkan untuk membuka sekurang-kurangnya 132 cawangan dan ia akan berkembang setiap tahun bagi memastikan lebih ramai masyarakat dapat dibantu, sekali gus mewujudkan usahawan berjaya.
Ehsan http://hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment